Tazkirah Doa Siri 1 – Keutamaan Berdoa

Alhamdulilah..
Selawat dan salam buat junjungan nabi kita, Muhammad S.A.W..Semoga kita semua mendapat syafaat baginda di hari yang tidak ada yang mampu untuk memberikan syafaat melainkan syafaat baginda nabi Muhamaad S.A.W yang mulia ini.
Keutamaan berdoa..
Para sahabat sekalian,
Seringkali kita menadah tangan memohon hajat dan harapan  daripada Allah SWT kerana Dialah pemilik alam yang kita diami ini. Namun sedarkah kita bahawa doa dan harapan yang kita panjatkan itu adakah benar-benar datang dari lubuk hati kita atau sekadar lafaz biasa-biasa?. Dan  mengapakah harapan dan doa kita itu hanya berlegar sewaktu kita berada pada situasi cemas sahaja, seolah-olah Allah itu hanya berada bersama kita disaat getir sahaja ke?. Dimana Allah dihati kita jika keadaan kita disaat ini selamat, sihat dan bahagia ?.
Oleh sebab itu, penulis berhajat untuk kita bersama-sama meneladani amalan berdoa yang warid daripada Nabi s.a.w bersandarkan takhrij (membenarkan) dan juga tashih (mengesahkan) muhaddithin demi mengelak daripada mengambil doa yang jauh daripada amalan Nabi s.a.w.

Berdoa dalam erti kata berdoa yang sebenarnya. Bukan membaca doa tetapi berdoa. Sebelum penulis melanjutkan doa-doa yang boleh dikongsikan bersama, terdapat beberapa adab yang harus kita sama-sama jaga sebelum berdoa. Ini tidak ubah seperti kita memasuki rumah seseorang, perlu meminta izin, kemudia menjaga adab sepanjang bertamu, demikian jugalah saat kita memohon harap daripada Allah.

Sebelum kita semua berdoa, ada baiknya mengetahui terlebih dahulu adab-adab dalam berdoa.
ADAB-ADAB BERDOA
1.  Berdoa dalam keadaan ikhlas kepada Allah.
2. Memulakan dengan memuji Allah dan diikuti selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.
3. Bersungguh-sungguh dalam berdoa. Kerana sangkaan Allah itu terletak pada sangkaan manusia kepadaNya.
4.  Mengangkat kedua belah tangan. Nabi s.a.w bersabda: 
   “Sesungguhnya Tuhan kamu yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi itu sangat pemalu dan mulia. Dia malu terhadap hambaNya yang mengangkat tangannya berdoa tetapi tidak dimakbulkan permintaannya itu”. 
                                                        (HR Abu Dawud dan al- Tirmizi) 
5.  Memperbanyakkan bersabar apabila menanti dimakbulkan doa oleh Allah. Manusia itu sering hendak hajatnya cepat ditunaikan sedangkan Allah mengurniakan tepat pada waktunya. Nabi s.a.w bersabda :
    “ Dikabulkan doa seseorang daripada kalian selama mana dia tidak terburu-buru. Dia berkata: Aku sudah berdoa tetapi Allah tidak memakbulkannya “. 
                                                           (HR Bukhari dan Muslim)
6.  Berdoa dalam apa juga keadaaan bukan sekadar sewaktu cemas.
7.  Berdoa untuk tujuan kebaikkan bukan kecelakaan dan memutuskan  silaturrahim.
8.   Tidak berdoa di tempat maksiat.
9.   Merendahkan suara ketika berdoa.
10.   Berdoa dengan menyebut “ Ya Rabb” sebanyak tiga kali. Daripada Atha’ r.a. berkata :
“ Tidaklah seseorang hamba berkata “Ya Rabb”, sebanyak tiga kali melainkan Allah mendengar permintaanya”.
11. Doa juga perlu diulang-ulang sebanyak tiga kali sebagai tanda pentingnya hajat dan permintaan hajat itu.
12.  Menghadap ke arah kiblat.
13.Mengangkat kedua-dua belah tangan sewaktu berdoa. Bukan sekadar meletakkan tangan di atas riba seolah-olah tidak bermaya dalam berdoa sebaliknya bersungguh-sungguh menadah tangan mengharap diperkenankan hajat didalam berdoa.
14.  Berdoa dalam keadaan berwudu’.
15.  Menggunakan ayat yang ringkas namun padat dengan maksud doa itu.
16.  Menyeru nama-nama Allah dengan menyertakan asma’Nya yang mulia .
17.  Bertawasul dengan amal-amal soleh yang pernah dilakukan.
18.Makanan dan minuman mestilah bersumberkan daripada yang halal. Meninggalkan yang syubhah (meragukan) apatah lagi yang haram.
19.  Dalam amal seharian, memperbanyakkan amal makruf dan mencegah Kemungkaran.
20. Memulakan berdoa untuk diri sendiri terlebih dahulu sebelum berdoa kepada orang lain.
21.  Menyapu muka selepas berdoa. Dalilnya datang daripada Ibn Abbas  
 berkata : 
“ Apabila kamu memohon kepada Allah, mohonlah dengan tapak-tapak tangan kamu dan janganlah memohon dengan belakang tapak tangan kamu. Sapulah muka kamu dengan tapak tangan .”
                             (HR 
Abu Dawud, Ibn Majah dan al-Hakim).
22. Mengaminkan doa yang dibaca. Bagi doa yang dipanjatkan secara berjemaah, wajar makmum mengaminkan doa yang didoakan oleh imam dengan menyebut “amin” yang bermaksud perkenankanlah Ya Allah. Ini kerana jika lafaz “amin” yang diucapakan itu bertepatan dengan “amin” para malaikat, maka dosa-dosanya yang lalu diampunkan oleh Allah. Sabda Nabi Muhammad s.a.w bermaksud : 
   “ Sekiranya imam mengatakan “amin” maka ucapkanlah “amin”. Sesiapa yang ucapan aminnya  itu bertepatan dengan ucapan amin para malaikat, segala dosanya yang lalu akan diampunkan oleh Allah.” 
                                                                (HR  Bukhari, Muslim).
23.  Mengakhiri doa dengan pujian kepada Allah.

Rujukan :
Zahazan Mohammed. (2006). 101 Doa Para Nabi & Rasul Dalam Al-Quran Khasiat & Khaifiat Beramal. Selangor, Malaysia : TelagaBiru Sdn. Bhd.
Zahazan Mohammed. (2007). 101 Doa Daripada Hadis-Hadis Sahih. Selangor, Malaysia : Telaga Biru Sdn. Bhd.  


Penulis Che Zairey Che Mansor merupakan guru di Sekolah Kebangsaan Mat Kilau Kuantan. Dilantik sebagai imam di Surau Madinah. Terlibat dengan aktif dalam aktiviti anjuran surau madinah.



Leave a Reply to Unknown Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *